03 November 2010

Luahkan Sebelum terlambat

Kisah ini tentang seorang gadis yang jatuh hati pada teman baiknya yang boleh berkongsi suka dan duka. Kita gelarkan mereka sebagai Adam dan Farah. Bagaimanapun, Farah tidak pernah meluahkan perasaannya itu, bimbang persahabatan mereka yang sedia terjalin, akan tercalar dengan pengakuan itu.

Pada suatu hari, Adam mendatangi Farah dengan satu dilema. Adam meminati seorang gadis dan meminta pendapat Farah, sama ada dia harus menghantarnya satu kad ucapan. Hati Farah hancur berkecai tetapi dia sembunyikannya. Baginya, kebahagiaan kawan adalah kebahagiaannya jua.

“Adam rasa, dia suka Adam tak?” tanya Farah. “Adam tak pasti, tetapi… mungkin juga,” jawab Adam. “Adakah Adam pasti dia belum berpunya?” tanya Farah lagi sambil di dalam hatinya berdoa si gadis pujaan Adam sudah mempunyai teman istimewa. Adam menjawab: “Belum.”

“Kalau macam tu, teruskan. Itu cara terbaik untuk mengetahui sama ada dia juga sukakan Adam. Lagipun, siapalah yang mampu menolak lelaki seperti Adam,” ujar Farah cuba bergurau dan menyembunyikan perasaannya. Selepas itu, Farah cuba mengorek lebih lanjut daripada teman-temannya dan Adam, siapakah gadis bertuah itu tetapi hampa.

Beberapa hari kemudian, Adam datang lagi. “Perlukah saya membelinya sejambak bunga?” “Ya, Farah tidak pernah terjumpa mana-mana perempuan yang tidak sukakan bunga!’ “Bunga apa yang patut Adam berikan?” “Bergantung, kepada apa?” “Bergantung kepada apa jenis bunga yang dia sukakan dan berapa banyak wang yang Adam ada.” “Adam tak kisah tentang duit.”

“Kalau begitu, belikan dia bunga mawar merah, penjual bunga tentu tahu apa maksudnya.” “Adakah penjual bunga boleh mengirimkannya bersama kad ucapan?” “Ya.” “Kenapa Adam tidak memberikannya sendiri.” “Tak boleh.” “Kenapa pula?” “Adam takut dia tidak sukakan Adam.” Farah menjadi bertambah sedih.

Pada suatu hari, ketika sedang mengemas rumahnya, seseorang telah mengetuk pintu. Sebaik pintu dibuka, seorang lelaki penghantar berdiri bersama sejambak bunga mawar merah yang dikepilkan bersama sebuah kad ucapan. Kad itu berbunyi:

“Sudah lama Adam tertarik pada Farah (lelaki mana yang tidak tertarik pada Farah, bukan?) Namun, semakin kita menjadi akrab, Adam dapat melihat kecantikan dalaman Farah sebagaimana kecantikan luaran. Perasaan Adam menjadi lebih mendalam, melebihi seorang kawan tetapi Adam bimbang untuk berterus terang.

“Adam menghargai persahabatan kita lebih dari segala-galanya tetapi Adam mahu Farah tahu, apa yang Adam rasai di dalam. Sekiranya Farah tidak merasakan apa yang Adam rasai, Adam sesungguhnya mengerti. Adam harap, kita masih boleh terus menjadi teman karib dan Adam berjanji, tidak akan membangkitkan perkara ini lagi. Seolah-olah, ini semua tidak pernah berlaku dalam hidup kita, okey? Hubungi Adam. Adam mahu tahu, apa pendapat Farah.”

Sudah tentu Farah terus menghubungi Adam dan sejak itu mereka menjadi pasangan sahabat, kekasih dan suami isteri yang bahagia sehingga kini. Jadi saudara, hidup ini terlalu singkat untuk kita menerawang dan tertanya-tanya apa yang orang lain fikirkan tentang kita. Pejam mata, tetapkan pendirian dan 'go for it'

01 November 2010

Bukan Cinta Biasa

Suami saya adalah serorang jurutera komputer, saya mencintai sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul dihati saya ketika bersandar dibahunya.

3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa letih... lelah, alasan-alasan saya mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta berperasaan halus. Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya. Tetapi, semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal.

Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan penceraian.

"Mengapa?"Dia bertanya dengan nada terkejut.

"Siti letih, Abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya inginkan." Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak.

Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya.

"Apa yang Abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran Siti?" Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan.

"Siti ada 1 soalan, kalau Abang temui jawapannya didalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti; Seandainya, Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang ada ditebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah yang Abang akan lakukan untuk Siti?"

Dia termenung dan akhirnya berkata, "Abang akan memberikan jawapannya esok." Hati saya terus gundah mendengar responnya itu.

Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menenui selembar kertas dengan coretan tangannya dibawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang bertuliskan...

'Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan Abang untuk menjelaskan alasannya." Kalimah pertama itu menghancurkan hati saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya.

"Siti boleh mengetik dikomputer dan selalu mengusik program didalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, Abang harus memberikan jari-jari Abang supaya boleh membantu Siti untuk memperbaiki program tersebut."

"Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan Abang harus memberikan kaki Abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti ketika pulang."

"Siti suka jalan-jalan di shopping complexs tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat baru yang Siti kunjungi, Abang harus mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah."


"Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu 'teman baik' Siti datang setiap bulan, dan Abang harus memberikan tangan Abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang sengal itu."

"Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu risau Siti akan menjadi 'pelik'. Dan Abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti dirumah atau meminjamkan lidah Abang untuk menceritakan hal-hal kelakar yang Abang alami."

"Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata Siti, Abang harus menjaga mata Abang agar ketika kita tua nanti, abang dapat menolong mengguntingkan kukumu dan memandikanmu."

"Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing menelusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu."

"Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, Abang tidak sanggup melihat airmatamu mengalir menangisi kematian Abang."

"Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada Abang mencintai Siti."

"Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, mata Abang tidak cukup bagi Siti.
Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti."

Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lamgi.

"Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang. Jika Siti puashati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti." "Tetapi, jika Siti tidak puas hati, sayangku... biarkan Abang masuk untuk mengemaskan barang-barang Abang, dan Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. percayalah, bahagia Abang bila Siti bahagia."

Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaan saya.

Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam 'kewujudan' yang kita inginkan, maka cinta itu telah hadir dalam 'kewujudan' yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini. cuba kita ambil ikhtibar dari cerita ini..

05 February 2010

Wanita Ibarat Rama-rama

Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.

Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.

Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya, harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.

Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.

Sulitnya untuk bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.

Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan.

Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.

Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda.

Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna-warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati.

Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.

Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.
 
- Dr HM Tuah Iskandar al-Haj.

22 January 2010

Simpanlah Keranda Ini

Lelaki tua itu semakin lemah. Kudratnya sudah tiada. Segala sendinya kejang dan lemah. Penyakit demi penyakit bersarang ditubuhnya membuatkan lelaki tua itu tidak mampu lagi untuk berdiri. Setiap hari yang termampu dilakukan hanyalah berbaring dan membilang baki hari yang akan dilaluinya.

Keadaan lelaki tua itu menjengkelkan anaknya. Anak muda itu mengeluh kerana setiap hari sejak beberapa bulan bapanya terlantar, hanya dia seorang sahaja terpaksa berladang dan menjaga binatang-binatang ternakan.

Penat berladang, pulang ke rumah dia terpaksa pula memasak, membasuh, mengemas rumah serta membantu bapanya yang tidak mampu menguruskan diri sendiri. Paling dibenci anak muda itu ialah mengurus kencing berak bapanya, lantaran si ibu sudah beberapa tahun meninggal dunia.

"Ah! Tak guna langsung, menyusahkan saja.." Keluh si anak yang tidak sanggup lagi menanggung beban menguruskan ayahnya. Kesabarannya hilang. Dia tidak mahu menggalas beban itu lebih lama lagi.

Suatu hari si anak membuat satu keranda daripada kayu dan membawanya balik ke rumah. Ketika itu ayahnya sedang tidur. Tanpa melengahkan masa anak muda itu terus mengheret keranda ke bahagian anjung tempat ayahnya sedang berbaring. Perlahan-lahan tubuh tua ayahnya diangkat dan diletakkan ke dalam keranda kayu. Kemudian, ditutupnya keranda itu.

Anak muda itu mengheret keranda tersebut sehinggalah ke tebing sebuah gaung yang dalam dan dipenuhi bongkah batu. Segala-galanya akan berakhir sebentar lagi. Tetapi sewaktu hendak menolak keranda itu ke dalam tebing gaung, tiba-tiba dia terdengar bunyi ketukan yang lemah dari dalam keranda.

Lalu anak muda itu membukanya. Dalam keadaan terbaring lemah, lelaki tua memandang tepat ke dalam mata anaknya. "Ayah tau kau nak tolak ayah dari tebing ini.." Begitu payah si bapa mengeluarkan suaranya.

"Boleh.. kau boleh lakukannya tapi ayah ada satu permintaan.." Sambung lelaki tua itu dengan suara tersekat-sekat menahan sebak di dada. Si anak mengangguk, menyuruh bapanya meneruskan kata-kata.

"Kau boleh tolak ayah dari sini jika kau mahu.. tapi simpanlah keranda ini baik-baik sebab anakmu juga akan memerlukan keranda ini suatu masa nanti.." sambung si bapa.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Moral: Sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga ayah dan emak ketika mereka sudah tua atau memerlukan. Jasa dan pengorbanan mereka sangat besar dan tak terbalas oleh kita. Hargailah mereka dan sayangilah mereka selagi mereka masih hidup.

17 October 2008

Kisah Rumput

Pada suatu pagi di sebuah sekolah menengah, ada seorang pelajar bertanya pada seorang guru yang sedang mengajar. Ketika itu, guru tersebut sedang menyentuh mengenai kasih dan sayang secara am. Dialog di antara pelajar dan guru tersebut berbunyi begini

Pelajar : Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang paling kita sayang?. Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?

Cikgu : Oh, awak nak tahu ke?.Emmm...baiklah, sekarang kamu buat apa yang saya suruh. Ikut je ye... Mungkin kamu akan dapat apa jawapannya.

Pelajar : Baiklah...apa yang saya harus buat?

Cikgu : Kamu pergi ke padang sekolah yang berada di luar kelas sekarang juga. Kamu berjalan di atas rumput di situ dan sambil memandang rumput di depan kamu, pilih mana yang PALING cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kamu petiklah rumput yang PALING cantik yang berada di depan kamu tersebut dan selepas itu bawa balik ke kelas.

Pelajar : Ok. Saya pergi sekarang dan buat apa yang cikgu suruh.

Apabila pelajar tersebut balik semula ke kelas, tiada pun rumput yang berada di tangannya. Maka cikgu pun bertanya kepada pelajar tersebut.

Cikgu : Mana rumput yang cikgu suruh petik?

Pelajar : Oh, tadi saya berjalan di atas rumput dan sambil memandang rumput yang berada di situ, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang , saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya sebelum itu tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.

Cikgu : Ya, itulah jawapannya. Maknanya, apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut.

Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah yang paling cantik kita jumpa dan paling baik pada MULAnya walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi. KECUALILAH jika perhubungan tersebut tak boleh diselamatkan lagi, maka barulah kita mulakan sekali lagi. Maka sayangilah orang yang berada di depan kita dengan tulus dan ikhlas.